Bimbang jadi ‘normal’, mufti tegur Neelofa isu lancar tudung

World

News / World 209 Views comments

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Mohamad menulis surat terbuka kepada pelakon Neelofa, 27 Februari 2018. ― Foto ihsan Instagram/Dr Zulkifli AlbakriMufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Mohamad menulis surat terbuka kepada pelakon Neelofa, 27 Februari 2018. ― Foto ihsan Instagram/Dr Zulkifli AlbakriPETALING JAYA, 28 Feb ― Mufti Wilayah Persekutuan bimbang isu pelancaran tudung dalam kelab malam oleh Neelofa menjadi satu “fenomena normalisasi”.

Kekhuatiran Datuk Zulkifli Mohamad itu dinyatakan dalam surat terbukanya semalam ekoran kontroversi pelancaran koleksi hijab terbaru selebriti itu.

“Apa sahaja boleh dan dibenarkan asalkan bertudung. Kekhuatiran ini bukan bermakna agama mengongkong wanita,” tegur ilmuwan itu. 

“Tetapi agamalah yang sebenarnya membebaskan wanita daripada penjara keterbukaan tanpa had, kepada mendapat hak kebebasan yang bersyariat.”

Oleh itu, Zulkifli menasihatkan selebriti wanita itu mencari keberkatan rezeki dalam perniagaan kerana “matlamat tidak menghalalkan cara”.

Menurutnya, tidak salah bagi Neelofa berusaha mencari kelainan malah “kadangkala kelainan itulah yang melorongkan seseorang ke jalan Tuhan”.

“Namun, fitnah dan tohmahan perlulah sentiasa dielakkan. Benar, perniagaan untuk mendapatkan keuntungan adalah matlamat yang murni.

“Namun begitu, kaedahnya juga wajib diraikan agar terhasilnya keberkatan,” katanya, yang mengakui “‎pemakai tudung tidak semestinya sempurna”. 

Agamawan kelulusan dari Syria itu berkata seseorang wanita bertudung adalah memelihara auratnya bahkan simbol kepatuhan syariat Allah.

Beliau juga mengakui sukar bagi seseorang wanita bertudung  memelihara perilaku dan adab kesopanan, malah dianggap enggan hipokrit jika bertudung. 

“Sedangkan perubahan daripada tidak bertudung, kepada bertudung bukanlah satu bentuk hipokrit kerana ia tidak hanya melibatkan penghijrahan diri.

“Tetapi juga penghijrahan hati dalam usaha menggapai reda Ilahi. Jika bukan reda-Nya yang kita impi, apa lagi yang hendak kita cari di dunia ini?” katanya.

Dalam majlis pelancaran itu, terdapat gelagat wanita bertudung menari dalam video di majlis itu menular di media sosial hingga mengundang kritikan ramai.

Mengakhiri suratnya, Zulkifli menggesa Neelofa agar “menghayati syariat Islam” dan berpesan tiga perkara dalam kehidupan.

Perkara itu ialah bertanya kepada ulama sebelum bertindak, sentiasa memelihara imej wanita bertudung dan mencari rezeki yang diberkati Allah. 

Comments