Sabri berkata bukanlah satu tekanan jika sekuel drama itu nanti tidak mendapat sambutan. — Foto oleh Yusof Mat IsaKUALA LUMPUR, 28 Feb ― Sebuah hotel di sini semakin popular selepas menjadi lokasi penggambaran drama Pok Ya Cong Codei.
Demikian pendedahan pengarah dan pelakon drama berkenaan mendakwa bilik yang digunakan mendapat permintaan terutama pengunjung dari Kelantan.
“[Mulanya] kami minta Hotel Concorde, tulis surat, mereka benarkan tetapi di bahagian depan sahaja sebab di dalam sibuk.
“Kami pun ambil [gambar] di depan sahaja. Hotel yang di dalam itu di KL International Hotel.
“Oleh kerana hotel itu sangat popular kepada orang Kelantan, mereka tahu.
“Sehingga sekarang saya diberitahu, orang datang minta bilik Pok Ya Cong Codei,” kata Sabri Yunus dalam sebuah forum di sini semalam.
Forum yang dianjurkan Angkatan Belia Islam Malaysia itu mengupas secara mendalam mesej yang disampaikan dalam drama tersebut.
Sabri, 57, berkata sekuel drama itu akan ditayangkan Aidilfitri ini namun tidak akan menjawab persoalan yang bermain di benak penonton.
Katanya, kejayaan drama itu adalah hasil kreatif seorang karyawan yang tidak dibelenggu dengan apa yang diinginkan penonton.
“Orang kata cerita itu belum habis, ‘mana isteri Pok Ya, apa jadi dengan Toni’.
“Saya kata cerita saya sudah habis. Apa yang tidak habis itu cerita dalam kepala penonton. Saya mahu cerita bahagian itu sahaja. Cerita lain bukan cerita saya.
“Bila orang suka, stesen TV, penerbit suka, menjadi peluang mereka buat kerja mendapatkan wang.
“Saya terperangkap sementara hati nurani saya mahu berhenti di situ sahaja. Saya nak kekalkan orang sayang saja,” katanya.
Beliau berkata bukanlah satu tekanan jika sekuel drama itu nanti tidak mendapat sambutan.
Katanya, impak drama yang ditayangkan pada Januari itu bukan sesuatu diharapkan maka begitu juga pada sekuelnya.
“Tiada masalah sebab yang pertama saya tidak mahu jadi begini.
“Sekiranya yang pertama menjadi sejarah dan fenomena, jangan harap saya akan layan apa orang pinta. Saya akan buat cerita lain.
“Cerita ini disukai ramai kerana saya tidak melayan apa yang orang mahu.
“Saya percaya karyawan yang harus melontarkan gagasan pemikirannya kepada khalayak,” katanya.
Comments