MUAR, 21 Mac — Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) percaya 14 kru kapal korek pasir yang masih hilang selepas kapal JBB Rong Chang 8 itu terbalik di kedudukan 8.5 batu nautika dari perairan Parit Jawa di sini kira-kira 8.50 pagi tadi, terperangkap di dalam kapal itu.
Komander Pasukan SAR, Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata ini berdasarkan pemeriksaan awal ujian ketukan pada badan kapal pada kira-kira 3 petang tadi yang mendapat ketukan balas daripada anak kapal yang terperangkap.
“Kita percaya bahawa baki 14 orang kru belum dijumpai dipercayai masih teperangkap di dalam kapal. Mereka mungkin boleh bertahan (bernafas) dalam masa 24 jam atau 48 jam lagi kerana ruang dalam kapal itu besar,” katanya kepada pemberita di sini, hari
Sanifah yang juga timbalan pengarah maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan berkata pihaknya telah mendapat bantuan daripada penyelam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap.
“Kita dapat maklumat bahawa Tentera Laut Diraja Malaysia akan menghantar kapal KD Mahameru dari Pangkalan Tentera Laut Lumut dan dijangka sampai pada pukul 5 pagi ini dan operasi SAR akan diteruskan 24 jam,” katanya.
Beliau berkata sehingga kini pihaknya telah berjaya menemukan empat kru kapal daripada 18 kru kapal berkenaan.
“Tiga orang kru kapal ditemukan dalam keadaan selamat manakala seorang lagi telah meninggal dunia dipercayai akibat lemas merupakan warga asing dan identitinya masih belum dikenal pasti,” katanya.
Sanifah berkata kru yang meninggal dunia dan yang selamat telah dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar (HPSF).
Beliau berkata maklumat awal yang diperolehi 18 kru itu terdiri daripada seorang warga Malaysia dan 17 warga asing berumur antara 20 hingga 64 tahun.
Katanya operasi SAR hari ini membabitkan usaha menyelamat mangsa di permukaan air, mengawal tumpahan minyak kapal daripada mencemari perairan negara dan menjaga laluan kapal bagi mengelak berlaku pelanggaran kapal.
“Kira-kira 20 anggota daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin, TLDM, Pasukan Polis Marin (PPM), bomba, pihak hospital dan nelayan tempatan terbabit dalam operasi SAR,” katanya. — Bernama
Comments