Perlunya akta lindungi hak pembawa HIV — Wan Salman Wan Sallam

World

News / World 155 Views comments

13 MAC — Amerika Syarikat (AS) akhirnya melangkah ke hadapan dengan meluluskan “Affordable Care Act” (ACA) yang dicanang media sebagai “Obamacare”. Lulusnya akta itu merealisasikan impian rakyat AS ke arah wujudnya perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih sejagat tanpa meminggirkan pihak tertentu.&

Hal ini dipastikan dengan penalti cukai yang boleh dikenakan sekiranya tidak membeli apa-apa produk insurans kesihatan. Oleh itu, lebih ramai orang yang sihat akan menyumbang untuk sumbangan insurans jika ada pembeli produk yang benar-benar jatuh sakit dan memerlukan rawatan di hospital. Lebih penting lagi, akta itu memastikan seramai mungkin rakyat AS memiliki insurans kesihatan.

Perkara yang lebih menarik ialah ACA antara lainnya memastikan pengeluar produk insurans tidak mengenakan caj berlebihan mahupun menolak pelanggan jika pelanggan ada masalah kesihatan sedia ada (“pre-existing conditions”). ACA juga memastikan jangka masa menunggu untuk kelulusan insurans tidak begitu lama di samping memastikan sejarah perubatan pelanggan disiasat dengan begitu rumit.

Perkara di atas berpotensi besar menghapuskan diskriminasi terhadap pesakit yang dirawat di hospital serta diskriminasi terhadap pelanggan insurans atau bakal pelanggan insurans.&

Mungkin Malaysia buat masa ini dilihat mempunyai sistem penjagaan kesihatan mampu milik di pusat kesihatan kerajaan seperti caj RM1 di klinik kesihatan, caj RM5 di klinik pakar dan potongan khas untuk rawatan di wad di hospital kerajaan untuk warganegara.&

Namun harus diingat, dengan kadar inflasi yang semakin meningkat dan jangkaan pertumbuhan bilangan penduduk pada masa akan datang, kerajaan tidak mampu menanggung peningkatan kos. Pada masa akan datang, satu sistem yang melibatkan rakyat untuk turut menampung kos perubatan dan penjagaan kesihatan perlu wujud agar kualiti dan akses sistem penjagaan kesihatan Malaysia terus dikekalkan.&

Oleh sebab itu, sekurang-kurangnya pada masa akan datang, suatu polisi atau akta perlu diwujudkan bagi menghapuskan diskriminasi terhadap pelanggan insurans kesihatan, sama ada ia diuruskan oleh kerajaan mahupun swasta.&

Malang sekali, antara kumpulan yang paling teruk didiskriminasi ialah pembawa HIV.&

Sungguh malang kerana masyarakat kita menganggap pembawa HIV pasti akan menghidap AIDS dan menemui ajal dengan segera dan memalukan. Berbekalkan stigma 1980-an, pembawa HIV dinafikan hak untuk membeli produk insurans kesihatan lantaran kecetekan pengetahuan terhadap jangkitan dan jangka hayat hidup pembawa HIV.&

Fakta menyatakan sebaliknya. Di AS contohnya, jangka hayat pembawa HIV sama dengan jangka hayat bukan pembawa iaitu usia 78 tahun. Kajian sama menyebut, individu yang memulakan rawatan antiretrovirus, sejenis rawatan melawan HIV, selepas 2008 hidup lebih lama dan lebih sihat berbanding mereka yang mengambil rawatan sebelum 2008.&

Hal ini menjadi satu realiti hasil kajian yang terus menerus untuk menghasilkan ubatan antiretrovirus yang kurang toksik dan melawan kerintangan virus HIV itu sendiri.&

Satu perkara yang boleh dipuji di Malaysia ialah kegigihan pegawai dan staf kesihatan dalam melaporkan jangkitan HIV terbaru, menyiasat sumber jangkitan dan paling terpuji, membekalkan ubat-ubatan antiretrovirus secara percuma.&

Namun begitu, hal ini belum cukup untuk membanteras diskriminasi terhadap pembawa HIV. Walaupun dibekalkan ubat-ubatan percuma, bagaimana pula jika pesakit HIV menghidap penyakit lain, contohnya diabetes atau komplikasi darah tinggi seperti kerosakan mata, yang tidak berkaitan HIV?&

Bagaimana jika pembawa HIV dimasukkan ke wad disebabkan nahas jalan raya yang menyebabkannya terpaksa dibedah?&

Kadar longgokan HIV telah mampu dikawal antiretrovirus sehingga keadaan mereka sama seperti orang negatif HIV yang sihat. Jadi, tidak adil untuk mengandaikan bahawa pembawa HIV secara pasti akan merugikan pihak insurans sedangkan kualiti hidup mereka hampir setara.

Sebagaimana orang sihat lain, mereka juga berhak dilindungi sekiranya mahu bersalin di hospital atau mendapatkan rawatan dan pembedahan di wad dan memperoleh insurans untuk perkara tersebut.&

Justeru, suatu polisi yang lebih menyeluruh dan tidak mendiskriminasi pembawa HIV perlu diusul dan diluluskan bagi mencapai satu sistem penjagaan kesihatan yang progresif, menyeluruh, sejagat dan mampu milik tanpa mengambil kira latar belakang individu.

Jika benar kita percaya penjagaan kesihatan dan akses terhadapnya adalah hak semua, diskriminasi pihak insurans terhadap pembawa HIV berbekalkan stigma tidak berasas, harus dihentikan.&

* Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat peribadi Malay Mail.

Comments